PONTIAN: Selepas beberapa bulan Sungai Tanjung Air Hitam, di sini sepi tanpa kehadiran kaki pancing susulan kejadian pencemaran, kini kawasan tersebut kembali meriah dengan kedatangan para pemancing udang galah.
Selepas kejadian tersebut, Jabatan Perikanan negeri telah melepaskan 90,000 benih udang galah ke dalam sungai tersebut bagi mengembalikan kehadiran spesies tersebut.
Seorang tekong sambilan, Mohammad Faliq Daud, 34, berkata, kehadiran semula golongan kaki pancing telah mengembalikan kembali suasana meriah di kampung tersebut seperti sebelumnya, terutama pada hujung minggu dan cuti umum.
“Alhamdulillah, pemancing telah kembali semula bagi memburu udang galah sama ada bagi juadah keluarga mahupun sumber pendapatan sampingan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pada Julai tahun lalu, akhbar ini melaporkan tentang pencemaran Sungai Tanjung Air Hitam sehingga menyebabkan banyak udang dan ikan yang mati.
Mohammad Faliq berkata, kehadiran ramai kaki pancing turut membantu memulihkan aktiviti sewaan bot yang terhenti akibat pencemaran itu.
“Terdapat 11 pengusaha bot di Sungai Tanjung Air Hitam dengan kadar sewaan RM80 hingga RM150 sehari,” katanya sambil memberitahu para pemancing mampu membawa pulang sekurang-kurangnya sekilogram udang galah setiap kali turun ke sungai. – UTUSAN