PETALING JAYA: Sejak lebih dua tahun diberi amanah mentadbir negara, Kerajaan Madani akan terus merangka inisiatif-inisiatif baharu bagi memperbetul kepincangan dan merangsang pertumbuhan ekonomi negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, antara inisiatif utama adalah penubuhan Johor-Singapore Special Economic Zone (JSSEZ) dan kerjasama pembangunan di utara Semenanjung bersama Thailand.
Katanya, langkah ini dijangka melonjakkan pertumbuhan ekonomi di Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu serta empat wilayah selatan Thailand.
“Kerajaan Madani turut menerajui strategi Grid Tenaga ASEAN selaras peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini.
“Inisiatif ini akan menghubungkan jaringan tenaga dari Vietnam, Laos, Kemboja, Thailand, Malaysia, Singapura hingga ke Indonesia dan Filipina, dengan Sarawak diberi peranan penting dalam pembangunan hab tenaga serantau tersebut,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Anwar berkata, Forest City pula dilihat berpotensi menjadi pusat kewangan baharu dengan insentif menarik, sementara Kuala Lumpur akan terus memanfaatkan Tun Razak Exchange (TRX) sebagai hab kewangan utama negara.
“Inilah antara formula Kerajaan Madani. Indikator positif ekonomi Malaysia saat ini, termasuk peningkatan ketara nilai pelaburan, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang menggalakkan dan komitmen pelaburan dari syarikat gergasi dunia.
“Ini menjadi bukti bahawa formula Ekonomi Madani membuahkan hasil,” katanya. – UTUSAN