IPOH: Kemeriahan sambutan Thaipusam yang berlangsung di Kuil Sri Subramaniar di Gunung Cheroh dekat sini hari ini, bukan hanya menjadi tumpuan penganut beragama Hindu malah menambat hati pelancong luar negara.
Seawal 7 pagi, ada dalam kalangan pelancong asing telah tiba di kawasan bukit batu kapur itu bagi menyertai lebih 300,000 pengunjung untuk melihat secara langsung ritual keagamaan yang disifatkan unik dan penuh warna.
Malah, rata-rata mereka mengakui teruja menyaksikan perarakan kavadi yang dibawa masuk ke Kuil Sri Subramaniar dari Kuil Sri Maha Mariamman, Sungai Pari, Buntong dan kuil-kuil berdekatan.
Menurut Jessica Au, 40, dari London, walaupun bapanya berasal dari Ipoh, namun ini adalah kali pertama dia dan adik perempuan, Rochana, 36, menyaksikan perayaan Thaipusam.
Katanya, dia yang baru tiba di negara ini semalam, tidak mahu melepaskan peluang untuk melihat sambutan bagi menghormati hari kelahiran Dewa Murugan itu.
“Kami tidak pernah dapat meraikan sambutan Thaipusam sebelum ini, jadi bila adik beritahu mengenainya saya terus ajak dia untuk datang ke sini.
“Sejujurnya, kami tidak tahu banyak mengenai perayaan ini tapi tahu ia disambut penganut Hindu. Saya gembira dapat melihat perayaan yang disambut seperti festival dan ini pengalaman yang sangat menyeronokkan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Bagi pelancong dari German, Niklas Ernst, 30, dia tahu mengenai sambutan Thaipusam selepas dicadangkan oleh penduduk tempatan ketika ditemui di sebuah restoran masakan India semalam.
Katanya, dia yang membuat sedikit rujukan tidak sabar untuk turut serta dalam sambutan tersebut apatah lagi apabila berpeluang menyertai perarakan membawa kavadi.
“Saya teruja apabila melihat mereka membawa kavadi yang dibina dengan begitu kreatif sambil diiringi muzik dan paluan gendang.
“Ia memberi saya pengalaman yang berbeza kerana sebelum ini saya pernah melancong ke Thailand dan melihat budaya di sana dan ini kali pertama saya ke Malaysia.
“Walaupun keadaan cuaca panas, ia tidak terasa kerana kami seronok menyertai sambutan ini. Jika ada peluang, saya ingin melihat sambutan sama dan mungkin selepas ini di Kuala Lumpur pula,” katanya.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, seramai 567 petugas terdiri daripada 44 pegawai kanan dan 523 anggota bertugas bagi menjaga keselamatan orang ramai sepanjang perayaan itu berlangsung.
Katanya, setakat ini, polis belum menerima sebarang laporan berhubung perlakuan jenayah yang berlaku di kawasan perayaan tersebut.
“Pihak pengurusan kuil, penganut Hindu dan pengunjung yang hadir diminta memberi kerjasama kepada pihak polis demi kelancaran sambutan Thaipusam sekali gus memastikan tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” katanya. – UTUSAN