LONDON: Pemenang Oscar dua kali, Gene Hackman, 95, dan isterinya, Betsy Arakawa, 63, ditemukan meninggal dunia di kediaman mereka di New Mexico, Amerika Syarikat (AS) pada Khamis.
Memetik laporan laman web Santa Fe New Mexican, Sheriff Santa Fe County, Adan Mendoza berkata, pasangan tersebut meninggal dunia bersama anjing mereka dan tiada sebarang tanda-tanda unsur jenayah ketika mayat mereka ditemukan.
Sementara itu, pihak polis tempatan tidak dapat dihubungi untuk memberikan komen berhubung pemergian pelakon tersebut.
Untuk info, Hackman merupakan aktor berkaliber yang memenangi Anugerah Akademi untuk filem The French Connection (1971) dan Unforgiven (1992).
Aktor yang juga bekas anggota Marin itu telah mengabdikan diri dalam dunia seni sejak 1960 dan berlakon lebih daripada 80 filem serta drama sepanjang kerjayanya.
Hackman juga sebelum ini pernah berkahwin dua kali dan mempunyai tiga anak.