ARAU: Perjalanan pulang seorang pelajar Universiti Malaysia Perlis (Unimap) ke asrama selepas mengulang kaji pelajaran berakhir tragedi apabila basikal ditunggangi dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di hadapan kampus universiti tersebut di Jalan Padang Besar-Ulu Pauh di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam itu, mangsa, Muhammad Fawwaz Hazim Abd. Karim,23, yang merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Komputer itu meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Arau, Superintenden Ahmad Mohsin Md. Rodi berkata, hasil siasatan awal, kenderaan jenis Proton X50 dipandu lelaki berumur 41 tahun dari arah Chuping menghala ke Ulu Pauh di sini melanggar bahagian belakang basikal ditunggangi pelajar tersebut.
Katanya, basikal ditunggangi pelajar berasal dari Sungai Petani, Kedah itu dipercayai bergerak di laluan tengah jalan untuk ke arah kolej penginapan Pauh Putra di sini.
“Akibat pelanggaran, mangsa terjatuh di atas jalan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan,” katanya di sini hari ini.
Katanya, mayat pelajar tersebut dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, seorang saksi yang juga pelajar universiti berkenaan berkata, mangsa merupakan pelajar semester satu sedang menyusur jalan raya untuk melintas sebelum dirempuh kenderaan dari arah belakang.
“Rempuhan itu menyebabkan mangsa melambung sebelum jatuh di tengah jalan berdekatan kenderaan yang kami naiki.
“Kami sangat terkejut namun sempat mengelak mangsa yang terjatuh di tengah jalan itu,” katanya. – UTUSAN