KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memberikan tumpuan kepada pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berasaskan pertanian.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu bagi mengimbangi kebolehpasaran graduan bersama pelajar bukan berasaskan pertanian.
“Kita tidak pernah meminggirkan tuntutan khususnya TVET pertanian. Purata kebolehpasaran di kalangan pelajar TVET adalah sebanyak 94.2 peratus. Untuk TVET di bawah Institusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) pula adalah sebanyak 98.7 peratus.
“Kalau sektor pertanian, ia berada sekitar 80 peratus. Insya-Allah, saya akan memberikan tumpuan juga kepada kumpulan ini supaya terdapat keseimbangan antara graduan berasaskan pertanian dan bukan berasaskan pertanian.
“Institusi TVET ini akan dapat kita perkasakan. Saya akan meneliti perkara ini dan Majlis tvet Negara akan melihat bahawa graduan TVET pertanian juga dapat disantuni serta diberikan keutamaan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) mengenai hala tuju dan perancangan kerajaan untuk memperkasa TVET pertanian dan sama ada perancangan tersebut terdapat dalam badan penarafan tunggal TVET yang telah diumumkan. – UTUSAN