Kesedaran mengenai pentingnya penjagaan alam sekitar sewajarnya dipertingkatkan terutama dalam kalangan pelajar seperti yang dianjurkan menerusi IMECL.
Contoh terdekat adalah melibatkan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Masai, Pasir Gudang, Johor. Pelajar sekolah berkenaan baru-baru iin terlibat dengan pertandingan Iskandar Malaysia Ecolife Challenge (IMECL) 2024 dan dinobatkan sebagai juara.

Penglibatan sekolah berkenaan sekali gus menunjukkan penerapan pendidikan kelestarian alam sekitar secara berterusan sebagai aktiviti pengajaran bilik darjah. Ini menunjukkan pelajar semakin prihatian dan berminat dalam isu alam sekitar. Menerusi program tersebut ia memberi pendedahan kepada pelajar id terhadap kepentingan hidupan rendah karbon secara praktikal di sekolah.
Guru Besar sekolah tersebut Ter Hong Seng berkata, berdasarkan pelan Combat Plastic Pollution yang diperkenalkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri, sekolahnya terpilih sebagai salah sebuah sekolah di negeri Johor untuk menyertai inisiatif menuju sifar penggunaan plastik sekali guna.

– UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
“Sekolah ini telah merangka dasar sifar plastik selari dengan dasar kantin hijau yang diperkenalkan.
Tambah beliau lagi, penanaman tumbuhan hijau dapat menambahkan keindahan dan keceriaan di kawasan sekolah.
Pemandangan hijau ini mencipta suasana pembelajaran yang kondusif terhadap murid-murid dan secara tidak langsung dapat memberi udara yang segar kepada warga sekolah, mengurangkan tekanan dan merangsang minat murid dalam pembelajaran secara mendalam.
Guru Penyelaras Pendidikan Kelestarian yang juga guru Pendidikan Islam Intan Atikah Abd. Razak berkata, sejak sekolah ini melaksanakan program kelestarian, perubahan tingkah laku murid amat ketara dari segi pengurusan kitar semula dan peka dalam alam sekitar.
“Minat murid terhadap alam sekitar dibuktikan menerusi program kelestarian sekolah dan mereka (lebih) bertanggungjawab menjaga kebersihan sekolah.
“Semua murid daripada Tahun Satu hingga Tahun Enam dibimbing mencintai alam sekitar bermula daripada membuang sampah ke tempat yang betul sehingga kepada projek penanaman pokok dan projek kitar semula,” katanya kepada Utusan Pelajar.

Setiap murid dididik cara pengutipan dan pengkelasan bahan kitar semula yang dikumpul dari rumah ke sekolah.
Beliau berkata, sekolah berkenaan menggunakan bahan kitar semula dalam reka bentuk dan kerja-kerja penghiasan Kawasan sekolah.
Guru dan murid bekerjasama secara aktif menggunakan bahan kitar semula seperti memotong kotak kadbod, botol plastik dan kertas terpakai untuk membuat hiasan dengan kreatif.
Selain itu, murid-murid juga menggunakan Tetra-Pak yang dikitar semula untuk membuat anyaman beg plastik yang praktikal.
“Sebuah laman organik di dalam sekolah merangkumi sistem akuaponik, penanaman sayur-sayuran dan buah-buahan organik, membantu murid mempelajari cara menggunakan sumber secara berkesan dan mengurangkan pembaziran.
“Guru mengajar murid cara menghasilkan baja kompos dengan menggunakan kulit buah-buahan sebagai baja organik untuk tanaman selain menyediakan latihan pertanian organik kepada murid kelas Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI),” jelasnya lagi.
Sementara itu Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi UTM, Dr. Nina Diana Nawi, yang juga selaku panel rakan strategik IMELC berkata, fokus penganjuran inisiatif adalah untuk memupuk kesedaran masyarakat rendah karbon.
“IMELC diasaskan berdasarkan Pelan Tindakan Masyarakat Rendah Karbon untuk Iskandar Malaysia, yang seterusnya mencetuskan penghasilan Pelan Tindakan Pendidikan Kelestarian Negeri Johor.
“Pelan ini merupakan pelan tindakan kemampanan dalam bidang pendidikan pertama seumpamanya di Malaysia, dan telah menjadi pemangkin bagi pelbagai program kelestarian lain di negeri Johor,” ujarnya.
Antara projek-projek utama di SJKC Masai termasuk Galeri Kelestarian, Pengumpulan barangan kitar semula, inisiatif Zero Plastic, dan Kempen Jom Bawa Botol Air. – UTUSAN