KUALA LUMPUR: Kedudukan pelaburan saham negara kekal stabil meskipun mengalami penyusutan kecil sebanyak 0.2 peratus daripada jumlah keseluruhan permodalan saham bernilai RM2 trilion.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, angka tersebut bukan petanda ketidakstabilan atau kehilangan keyakinan pelabur terhadap ekonomi Malaysia.
“Kehilangan hanya 0.2 peratus adalah perkara kecil dalam konteks pasaran saham yang dinamik.
“Ini tidak berkaitan dengan sebarang isu lain termasuk melibatkan keputusan dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) atau Titah Adendum baru-baru ini,” katanya di sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) yang memintanya menyatakan punca ramai pelabur asing menjual pegangan saham mereka dalam negara bagi tempoh kebelakangan ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, Malaysia masih lagi mendapat kepercayaan tinggi pelabur sama ada dalam dan luar negara.
“Kita tidak melihat sebarang penurunan mendadak dalam aliran masuk pelaburan. Malah, keyakinan terhadap keupayaan ekonomi kita kekal kukuh dan terus meningkat seiring dengan dasar-dasar yang kita laksanakan,” katanya.
Katanya, Malaysia juga komited untuk menggalakkan lebih lagi pelaburan terutama menerusi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
“Kita juga ada melakukan perbincangan bersama Thailand untuk tingkatkan ekonomi bersama negeri Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu.
“Keutamaan kita ialah memastikan kestabilan ekonomi dan kesejahteraan rakyat,” katanya.-UTUSAN