KUANTAN: Seorang pekerja kedai pajak gadai ditahan reman bagi membantu siasatan kes pembunuhan kejam membabitkan seorang peniaga wanita, Norshamira Zainal, 37.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, tangkapan terhadap lelaki terbabit dilakukan pada pukul 10.30 pagi semalam di sebuah kedai pajak di Kuala Terengganu, Terengganu.
Katanya, lelaki berusia 42 tahun itu dibawa ke Mahkamah Majistret Kuantan pagi ini untuk permohonan reman.
Majistret Mahkamah Jenayah, Nor Izzati Zakaria membenarkan permohonan reman selama tujuh hari hingga 22 Februari ini bagi membantu siasatan.
Terdahulu media melaporkan polis menahan suspek utama pembunuhan terbabit dalam serbuan yang dilakukan sebuah rumah di kawasan perumahan Wakaf Tembusu, Gong Badak, Kuala Terengganu, kira-kira pukul 5.30 pagi pada Sabtu.
Lelaki berusia 53 tahun itu kemudian direman tujuh hari hingga 21 Februari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – UTUSAN