KEMAMAN: Peguam mewakili lelaki orang kurang upaya (OKU) kategori ketidakupayaan mental yang dipukul di sebuah pasar pagi di Chukai, di sini, akan membuat rayuan berhubung hukuman yang dikenakan ke atas pelaku.
Bagi tujuan itu, peguam, Khairul Amin Abdullah akan memohon Pengarah Pendakwaan Negeri Terengganu untuk membuat rayuan di Mahkamah Tinggi berhubung hukuman sebanyak RM2,000 seorang yang dijatuhkan Majistret Kemaman ke atas lima tertuduh Isnin lalu.
Katanya, hukuman berkenaan terlalu ringan dan tidak memadai dengan apa yang dilakukan ke atas anak guamnya, Ahmad Nor Al Faizan Jusoh, 47, atau lebih dikenali sebagai Paijang.
“Saya akan berhubung dgn pihak Pengarah Pendakwaan Negeri untuk buat rayuan tentang hukuman. Sekurang-kurangnya, tertuduh perlu dikenakan denda lebih tinggi dan penjara kerana perbuatan mereka melampau dan tidak berperikemanuasiaan,” katanya semalam.
Beliau mengulas hukuman ke atas lima lelaki yang masing-masing didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini selepas mengaku bersalah menyebabkan kecederaan ke atas Ahmad Nor Al Faizan di sebuah pasar pagi di Chukai, Januari lalu.
Hukuman itu dijatuhkan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin, Isnin lalu selepas kelima-lima tertuduh berusia 20 hingga 63 tahun, termasuk seorang bapa dan dua anak lelakinya, membuat pengakuan bersalah.
Seorang lagi tertuduh yang turut berdepan dakwaan sama bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan.
Sementara itu, isteri Ahmad Nor Al Faizan, Faridah Abdul Karim, 44, terkejut mengetahui pelaku yang memukul suaminya hanya didenda RM2,000.
“Suami saya disepak di bahagian kepala dan badan dan dia diseret di tengah-tengah pasar. Bukan hanya terpaksa menanggung kesakitan, malah suami juga malu diperlakukan begitu teruk.
“Saya memang rasa tidak cukup sekadar denda RM2,000 dengan apa yang ditanggung kami sekeluarga,” katanya. – UTUSAN