KEMAMAN: Selepas sebulan berlalu, status kes seorang lelaki kurang upaya (OKU) kategori ketidakupayaan mental yang dipukul beberapa individu di pasar pagi berhampiran Padang Astaka Chukai di sini, masih menjadi persoalan kerana tiada perkembangan terkini mengenainya.
Kejadian yang berlaku pada 17 Januari lalu itu menyaksikan enam individu dipercayai suspek yang memukul, menyepak dan mengheret mangsa, Ahmad Nor Al Faizan Jusoh, 47, atau dikenali Paijang ditahan polis serta direman beberapa hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
Bagaimanapun, sehingga kini, masyarakat khususnya warganet masih tertanya-tanya status kes tersebut sama ada berlaku pendakwaan atau sebaliknya.
Peguam mangsa, Khairul Amin Abdullah berkata, banyak pihak tertanya-tanya perkembangan kes tersebut termasuk mengapa sehingga kini belum ada sebarang pendakwaan dilakukan terhadap suspek yang terlibat.
“Saya difahamkan, setakat ini belum ada sebarang arahan untuk pertuduhan bagi kes ini. Lazimnya, jika kertas siasatan telah lengkap dan telah dirujuk kepada timbalan pendakwa raya (TPR), pendakwaan dilakukan dalam masa terdekat. Namun, sehingga kini kita masih tidak tahu apa keputusan pihak pendakwaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Khairul Amin berkata, pihaknya berharap suspek bukan hanya didakwa mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan, malah dengan hukuman lebih berat demi keadilan anak guamnya.
“Kita harap pelaku didakwa mengikut seksyen yang lebih berpatutan seperti Seksyen 323 iaitu mendatangkan kecederaan atau Seksyen 324 iaitu menyebabkan kecederaan dengan senjata atau Seksyen 325, menyebabkan kecederaan parah atau seksyen lain yang lebih berat dan setimpal dikenakan kepada pelaku,” katanya.
Dalam kejadian itu, Ahmad Nor Al Faizan cedera selepas dipukul dan disepak oleh beberapa individu dipercayai peniaga dan pembeli di pasar tani berkenaan menyebabkan suasana tegang dan kecoh seketika.
Pada 24 Januari, Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintenden Wan Muhamad Wan Ja’afar dilaporkan berkata, polis merujuk kertas siasatan kepada TPR dan Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.
Seterusnya, pada 5 Februari, Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairudin berkata, pihaknya menerima laporan perubatan mangsa dan akan merujuk kembali kertas siasatan kepada TPR untuk tindakan lanjut. – UTUSAN