KUALA LUMPUR: Peguam Negara, Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar membantah permohonan tiga Ahli Parlimen untuk melantik peguam pemerhati dan berhujah dalam semakan kehakiman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung Titah Adendum.
Mohd. Dusuki berkata, permohonan yang difailkan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Ketua Whip Bersatu, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee dan Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar pada 22 Januari lalu adalah tidak bermerit.
Bantahan tersebut dinyatakan dalam afidavit jawapan terhadap permohonan yang difailkan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Ketua Whip Bersatu, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee dan Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Menurut permohonan yang difailkan oleh ketiga-tiga Ahli Parlimen tersebut, mereka antara lainnya memohon agar peguam-peguam, Tan Sri Azhar Azizan Harun, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Zulkifli Nordin untuk hadir pada setiap prosiding dan diberikan peluang untuk berhujah.
Mohd. Dusuki dalam afidavit jawapannya menyatakan seorang peguam pemerhati tidak mempunyai sebarang hak untuk didengari dan berhujah kecuali hak untuk memerhati sahaja dan tiada sebarang hak untuk peguam pemerhati untuk berhujah berhubung subjek pertikaian dalam kes ini.
“Saya sesungguhnya menyatakan bahawa sekiranya terdapat isu-isu perlembagaan yang berbangkit ketika pendengaran permohonan semakan kehakiman ini kelak, peguam (Najib) dalam permohonan semakan kehakiman mempunyai kewibawaan berhujah berkenaan isu-isu tersebut tanpa memerlukan kehadiran mahupun hujahan daripada pihak pemohon dalam permohonan ini,” kata Mohd. Dusuki.
Selain itu, merujuk kepada perintah larangan bersuara (gag order), Mohd. Dusuki menyatakan ketiga-tiga Ahli Parlimen itu bukanlah pihak yang terlibat atau dinamakan dalam permohonan kerajaan.
Katanya, pemohon tidak mempunyai sebarang hak untuk membangkitkkan sebarang bantahan terhadap permohonan (larangan bersuara) oleh pihaknya itu kerana merit permohonan ‘gag order’ bukanlah perkara yang perlu diputuskan dalam permohonan (untuk menjadi pemerhati) ini.
“Walau apa-apa keadaan sekali pun, pemohon dalam permohonan ini adalah dihalang daripada membincangkan isu di dalam permohonan semakan kehakiman ini di Dewan Rakyat berdasarkan Peraturan 23(1)(g) dan Peraturan 36(2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat,” katanya.
Hamzah, Ronald dan Ahmad Samsuri dalam afidavit yang difailkan menyatakan, larangan bersuara itu sekiranya dibenarkan akan menimbulkan satu keadaan yang mana Ahli-Ahli Parlimen disekat daripada membahaskan perkara itu sekaligus menyebabkan mereka tidak dapat menjalankan tugas sebagai ahli Parlimen.
Pada 6 Januari lalu, Mahkamah Rayuan memberikan kebenaran kepada Najib untuk memulakan semakan kehakiman berhubung kewujudan Titah Adendum tersebut.
Sementara itu pada 20 Januari lalu, Jabatan Peguam Negara telah memfailkan permohonan larangan bersuara (gag order) bagi menghalang mana-mana pihak termasuk media untuk memperkatakan mengenai Titah Adendum yang menyentuh mengenai penahanan bekas Perdana Menteri itu di rumahnya sehingga habis hukuman penjara.
Permohonan berhubung pelantikan peguam pemerhati dan kebenaran untuk berhujah ditetapkan untuk pengurusan kes pada 11 Mac ini.-UTUSAN