PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menempatkan pegawainya di semua kementerian sebagai Ketua Unit Integriti (KUI).
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, perkara itu telah pun dipersetujui pada mesyuarat Jawatankuasa Tatakelola (JTK) Peringkat Nasional Siri 3 Bil. 3 Tahun 2024 dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar baru-baru ini.
Beliau berkata, penempatan itu bertujuan mengatasi kesukaran kementerian dalam mengendalikan isu tatakelola di kementerian masing-masing apabila ketua unitnya bukan daripada SPRM.
“Pegawai SPRM yang ditempatkan di kementerian adalah pegawai yang mempunyai pensijilan ataupun diiktiraf sebagai certified integrity officer,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Katanya, penempatan pegawai ini akan dilaksanakan Jabatan Perkhidmatan Awam secara berfasa.
Dalam pada itu, Azam berkata, sebanyak 62 pihak berkuasa tempatan (PBT) telah menubuhkan unit integriti masing-masing manakala 84 PBT telah melantik pegawai perantara.
Selain itu, katanya, pihaknya telah membuka 107 kertas penyiasatan tatakelola pada tahun lalu dengan 69 penambahbaikan telah dibentangkan.
“Kami turut mengemukakan syor dan cadangan penambahbaikan tatakelola pada 2024,” katanya.
Pada majlis itu sama, Azam turut melancarkan papa pemuka Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) yang dibangunkan bagi membolehkan orang ramai memantau kemajuan setiap substrategi di bawah tanggungjawab kesemua 19 Ketua Agensi Peneraju.
“Ia membolehkan orang ramai mengetahui mana-mana substrategi yang telah diselesaikan di bawah NACS, output, ringkasan dan keberkesanannya sama ada melalui penemuan kajian, dasar atau aspek undang-undang,” katanya.
Papan pemuka NACS itu boleh layari https://dnacs.sprm.gov.my. – UTUSAN