KOTA KINABALU: Seorang pegawai penguat kuasa ditahan kerana disyaki menerima rasuah kira-kira RM100,000 daripada syarikat-syarikat pengangkutan agar tidak mengambil tindakan terhadap lori-lori yang melakukan kesalahan jalan raya.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia 40-an tersebut ditahan kira-kira pukul 8 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah.
Tangkapan terhadap pegawai penguat kuasa itu adalah susulan tangkapan terhadap pembantu penguat kuasa oleh SPRM Sabah pada Selasa lalu.
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai meminta wang rasuah daripada kira-kira 30 syarikat pengangkutan sejak Oktober 2023 hingga November 2024 dan menerima wang antara RM300 hingga RM3,000 secara bulanan yang keseluruhannya dianggarkan berjumlah RM100,000.
“Wang itu sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap lori-lori milik syarikat berkenaan yang melakukan kesalahan jalan raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 1(a) Akta SPRM 2009.
Beliau berkata, selepas diambil keterangan, suspek dibebaskan dengan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin. – UTUSAN