PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen (JIM) mengesahkan menemukan 12 keping pasport asing pada badan seorang pegawai imigresen di Pejabat Operasi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 pada 1 Januari lalu.
Menurut Ketua Pengarahnya, Datuk Zakaria Shaaban, laporan polis telah dibuat pada 7 Januari lalu dan diklasifikasikan sebagai tindakan Jabatan.
Katanya, satu kertas siasatan integriti telah dibuka dan pihak pengurusan JIM KLIA mengambil tindakan awal dengan menukarkan pegawai terbabit ke Depot Imigresen KLIA sementara siasatan integriti dilaksanakan.
“Walau bagaimanapun pegawai terbabit tidak hadir melaporkan diri ke tempat bertugas yang baharu sehingga kini.
“Proses siasatan integriti masih dilaksanakan oleh Bahagian Integriti JIM KLIA,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam hal ini, Zakaria nenegaskan, JIM tidak akan berkompromi dan melindungi mana-mana pegawai yang melakukan pelanggaran integriti yang mencemarkan nama baik dan imej jabatan.
Tindakan dan hukuman akan diambil berlandaskan peruntukan undang-undang sedia ada termasuk tindakan buang kerja jika pegawai yang melakukan kesalahan terbukti bersalah.
“JIM mengalu-alukan orang awam untuk melaporkan salah laku integriti Pegawai Imigresen.
“Aduan boleh dibuat melalui talian 03-880 1246 atau melalui e-mel [email protected] atau hadir sendiri ke Aras 4, Bahagian Integriti, Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia, Putrajaya,” katanya. Sebelum ini. sebuah portal berita melaporkan seorang pegawai imigresen didakwa menyimpan 12 pasport asing di pinggang seluarnya ketika tertidur di tempat kerja.
Insiden ini terbongkar apabila seorang pegawai imigresen lain menganggap tindakan rakan setugasnya yang tidur bukan pada waktu rehat sebagai mencurigakan.
Pada laporan polis bertarikh 7 Januari 2025, pegawai itu berkata dia telah diberitahu mengenai seorang pegawai yang tidur di Bilik Mesyuarat Pejabat Operasi Terminal 2.- UTUSAN