KANGAR: Seorang pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri ini direman enam hari bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan kes tuntutan elaun anggota bawahannya mencecah RM30,000.
Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Nurshahida Abdul Rahim sehingga 16 Februari ini selepas SPRM membuat permohonan tersebut di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.
Menurut sumber SPRM, suspek berusia 49 tahun itu yang merupakan ketua balai bomba dipercayai membuat tuntutan palsu bermula sejak November 2023 sehingga Februari tahun lalu.
“Suspek dipercayai menyalahgunakan kuasa sebagai ketua balai dengan mengarahkan anggota bawahan membuat tuntutan elaun ketidakhadiran.
“Apabila wang telah dimasukkan ke dalam akaun anggota terlibat, mereka perlu memulangkan wang tersebut kembali kepadanya,” katanya.
Menurut sumber, suspek juga dipercayai menggunakan wang yang dimasukkan ke dalam akaunnya itu untuk kegunaan peribadi.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM kerana mengemukakan tuntutan palsu.
“Buat masa ini, kita masih menyiasat jumlah keseluruhan transaksi yang dilakukan suspek,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Perlis, Mohd Nor Adha Ab Ghani mengesahkan penahanan suspek. – UTUSAN