KUALA LUMPUR: Pengukuhan kawalan sempadan akan diperluaskan ke Kedah dan Perlis bagi membanteras isu penyeludupan senjata api, dadah dan barang seludup.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, ini adalah inisiatif tambahan pihak polis demi mengekang kemasukan dan penyeludupan menggunakan pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok, Kelantan.
Katanya, langkah pengukuhan kawalan di sempadan ini diambil susulan beberapa kejadian tembakan dan kes berkaitan senjata api termasuk insiden tembakan di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam, Shah Alam dekat sini serta kejadian tembakan di sebuah rumah di Simpang Renggam, Johor.
“Usaha polis Kontinjen Kelantan dalam mengekang individu masuk secara haram di Sungai Golok sudah menunjukkan kejayaan dan akan menjadi contoh di Kedah serta Perlis.
“Melalui risikan dan siasatan, kita turut mengesan berlaku aktiviti penyeludupan di Padang Besar, Perlis dan usaha mengekang aktiviti itu perlu diperluaskan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Razarudin berkata, usaha ini perlu dijalankan bersama agensi lain terutama bagi menutup laluan penyeludupan di negeri bersempadanan.
“Daripada pihak kami, pelbagai elemen polis dari Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) seperti Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) sedang giat mengumpul risikan serta menjalankan operasi bagi membanteras aktiviti penyeludupan.
“Untuk rekod, di Kelantan, JKDNKA berhasil membuat rampasan penyelundupan hampir RM500,000,” katanya.
Beliau berkata, penyeludup bukan sahaja menyeludup barangan dan dadah tetapi dalam masa sama mereka juga mengambil kesempatan membawa masuk barangan berbahaya laun termasuk senjata api.
“Kita tidak mahu kes tembakan ini menjadi kebiasaan di mana langkah ketat sudah diambil setiap tahun bagi meluluskan senjata api.
“Kita juga akan memastikan usaha lebih ketat dilakukan dalam membendung senjata api tanpa lesen kerana hukuman berat menanti mereka yang ditahan jika menyeludup atau memiliki senjata api secara haram,” katanya.
Menurut Razarudin, mengikut Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, mereka yang didapati bersalah boleh menghadapi hukuman mati atau penjara seumur hidup dengan tidak kurang daripada enam sebatan.
“Mereka yang didapati bersalah memiliki senjata api secara haram juga boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan tidak kurang daripada enam sebatan mengikut Seksyen 8 akta yang sama,” katanya.
Kelmarin, enam das tembakan dilepaskan namun tidak mengenai pasangan suami isteri di Kampung Bukit Batu Machap, Simpang Renggam, Johor.
Pada Sabtu lalu, seorang pekerja pembersihan cedera ditembak seorang lelaki di pusat beli-belah di Setia Alam, Selangor.
Sebelum itu, pihak berkuasa mencatatkan pelbagai kejayaan rampasan senjata api dengan terbaharu empat lelaki termasuk dua warga Indonesia ditahan bersama lima pucuk pistol, selaras senapang M4 serta 801 butir peluru dirampas dalam sebuah bot di kawasan perairan Perai di 1 batu nautika dari Barat Daya Sungai Perai, Pulau Pinang.
Siasatan mendapati suspek warga asing memasuki negara ini secara sah dipercayai bagi menjalankan kegiatan haram berkenaan dan senjata api yang ditemukan itu dipercayai diseludup dari Thailand bagi pasaran gelap. – UTUSAN