KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menghantar seramai 2,581 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ke negara masing-masing sehingga 21 Januari lalu.
Melalui statistik JIM itu juga mendapati warga Indonesia paling ramai dihantar pulang iaitu 1,080 orang atau lebih 41 peratus dari jumlah keseluruhan PATI tersebut dan diikuti dengan 399 orang warga Myanmar.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kementeriannya dan JIM secara berterusan melaksanakan usaha-usaha bagi mengelakkan peningkatan jumlah PATI dalam negara.
Menurut beliau ia termasuk mempergiatkan inisiatif pengusiran PATI ke negara asal.
“Bagi tujuan ini, kerjasama dan rundingan dengan pihak perwakilan asing giat dilaksanakan untuk menyegerakan urusan dokumentasi PATI termasuk yang tiada dokumen pengenalan diri,” katanya menerusi jawapan bertulis Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan dari Zahari Kechik (Jeli) yang memintanya menyatakan jumlah PATI yang dihantar pulang ke negara masing-masing.
Menjawab soalan kedua Zahari berkaitan PATI yang tiada kewarganegaraan, Saifuddin berkata, mereka perlulah melalui proses penilaian dan penentuan status pelarian yang telah ditetapkan oleh kerajaan.
“Sekiranya warga asing berkenaan disahkan sebagai pelarian, maka mereka adalah tertakluk kepada proses penempatan semula ke semula ke negara ketiga,” jelasnya. – UTUSAN