PUTRAJAYA: Kerajaan akan memperhebatkan usaha dalam memperkukuh integriti, ketelusan dan tadbir urus yang baik susulan keputusan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2024 yang mengekalkan Malaysia pada skor 50 dan berada di kedudukan ke-57 secara global.
Pejabat Ketua Setiausaha Negara (KSN) memaklumkan, bagi tujuan ini Pasukan Petugas Khas CPI yang diterajui Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar akan terus meningkatkan langkah-langkah penambahbaikan strategik.
Katanya, pasukan ini yang telah mula bersidang sejak Oktober tahun lalu dianggotai pegawai kanan pelbagai kementerian, pakar berkaitan serta Transparency International Malaysia, dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai urus setia.
“Selain itu, enam Kumpulan Fokus CPI yang ditubuhkan di bawah Pasukan Petugas Khas ini akan meneliti dengan lebih mendalam dapatan daripada tinjauan yang digunakan dalam penilaian CPI.
“Hasil kajian ini akan menjadi asas kepada perancangan serta pelaksanaan tindakan yang lebih berkesan dalam memperbaiki kedudukan Malaysia di peringkat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, kerajaan pada masa sama terus berusaha secara bersepadu untuk meningkatkan persepsi global terhadap kecekapan dan ketelusan sistem tadbir urus negara.
Katanya, keputusan CPI 2024 ini dijadikan titik rujukan (baseline) dalam merealisasikan sasaran Malaysia untuk mencapai kedudukan 25 teratas dunia dalam CPI menjelang tahun 2033. – UTUSAN