IPOH: Golongan pekerja mesti menyemak penyata gaji bulan Februari ini, untuk memastikan majikan mematuhi pelaksanaan Perintah Gaji Minimum (PGM) RM1,700 sebulan yang telah dikuatkuasakan.
Mereka perlu mendesak mendapatkan slip gaji untuk memastikan bayaran gaji pokok RM1,700, kerja lebih masa (OT) serta caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Penyelaras Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK), Norazian Riduan berkata, kumpulan pekerja mesti berani bertanya terus kepada majikan jika berlaku sebarang kekeliruan.
“Jika majikan mengelak atau tidak mahu membayar. Boleh hubungi kami atau mengadu kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK),” katanya dalam sidang akhbar yang dianjurkan bersama Parti Sosialis Malaysia (PSM) di sini hari ini.
JPKK mewakili kumpulan kerja kontrak seperti pengawal keselamatan, tukang cuci dan tukang kebun khususnya di bangunan atau premis kerajaan.
Lebih empat juta pekerja di Malaysia menikmati gaji minimum RM1,700 melalui PGM yang berkuatkuasa di seluruh negara bermula 1 Februari 2025 berbanding RM1,500 sebelum ini.
Penyelaras Biro Pekerja PSM, R. Saratbabu Raman menasihati pekerja supaya bertindak secara berkumpulan agar suara lebih kuat dan tidak mendedahkan mereka daripda dibuli dan berdepan tindakan pembuangan kerja oleh majikan.
“Ajak rakan-rakan sekerja di bawah majikan yang sama untuk membuat aduan kepada JPKK, PSM atau kesatuan. Ia lebih memudahkan urusan kerana jika datang secara berkumpulan, majikan tidak berani memecat pekerja,” katanya.
Beliau mendesak Kementerian Sumber Manusia memastikan kejayaan PGM memandangkan ada majikan enggan mematuhi PGM baharu atas alasan kontrak kerja adalah berdasarkan gaji minima RM1,500 sebelum ini.
Katanya sewaktu pelaksanaan PGM daripada RM1,200 kepada RM1,500 pada tahun 2022, antara isu yang dihadapi pekerja ialah kiraan gaji dan OT yang tidak betul, majikan tidak bayar tunggakan gaji minima. – UTUSAN