PUTRAJAYA: Sepasang warga China yang sebelum ini ditahan kerana berkelakuan tidak siuman di dalam pesawat akhirnya disahkan tidak mengalami masalah mental oleh pihak hospital.
Susulan itu, Timbalan Ketua Polis Daerah KLIA, Superintendan Albany Hamzah ketika dihubungi berkata, pasangan itu telah selesai mendapat rawatan di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang semalam.
“Justeru, pada hari sama, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA telah menahan pasangan itu.
“Satu kertas siasatan di buka mengikut Seksyen 294(a) Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955,” katanya.
Katanya, siasatan segera dilengkapkan dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.
Sebelum ini, pasangan itu diusir dari pesawat selepas didapati menimbulkan kekecohan dalam sebuah pesawat yang ingin berlepas ke Jieyang Chaosan, China.
Dalam kejadian di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA2) sekitar pukul 1.20 tengah hari itu, Balai Polis KLIA2 menerima satu laporan berhubung satu kekecohan dicetuskan seorang wanita warga China dalam pesawat.
Pasangan itu kemudian di bawa ke Hospital Sultan Idris Shah, Serdang bagi menjalani pemeriksaan kerana dipercayai kurang siuman sebelum ditahan di wad hospital. – UTUSAN