Pasangan kekasih curi beg tangan dipenjara 44 hari

Pasangan kekasih curi beg tangan dipenjara 44 hari

KEDUA-DUA tertuduh diiringi anggota polis ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pasangan kekasih dipenjara 44 hari dan didenda RM2,000 seorang oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana mencuri sebuah beg tangan berjenama dan pelbagai produk kecantikan, bulan lalu.

Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman membuat ketetapan itu selepas menerima pengakuan salah tertuduh, Mohamed Amirul Mohamed Nasir dan Fatimah Tambi masing-masing berusia 40 tahun sejurus dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa bersama-sama telah mencuri 10 barang daripada milikan seorang wanita berusia 25 tahun di sebuah kedai di Taman Seri Telok Mas dalam daerah Melaka Tengah, kira-kira pukul 8.20 malam pada 12 Januari 2025.

Pasangan itu turut didakwa mencuri sebuah beg tangan berjenama Bonia berwarna coklat daripada milikan seorang wanita berusia 63 tahun di sebuah butik di Mahkota Parade, Taman Melaka Raya dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 8 malam pada 30 Januari 2025.

Sabit kesalahan, kedua-dua tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda dan bagi kesalahan kedua atau yang kemudian hendaklah dihukum penjara, boleh didenda atau sebat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Mengikut fakta kes, kecurian beg berjenama dan 10 produk kecantikan muka serta badan itu disedari kedua-dua pengadu selepas membuat kiraan stok di premis masing-masing.

Semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati pasangan terbabit bertindak memasukkan 10 produk kecantikan dalam sebuah beg manakala beg tangan berharga RM869 sebuah di kepit pada bahagian ketiak sebelum dibawa keluar tanpa membuat pembayaran.

Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar memberitahu mahkamah kedua-dua tertuduh bukan pasangan suami isteri dan mencadangkan hukuman berat kerana kesalahan berlaku pada dua tarikh berbeza.

Peguam Muhammad Izzuddin Ab. Malek merayu hukuman penjara minimum dan berjalan serentak dari tarikh ditangkap.

Katanya, Mohamed Amirul telah berkahwin, mempunyai tiga anak dan tidak bekerja manakala Fatimah seorang ibu tunggal dan memiliki lima cahaya mata.

Bagi kesalahan mencuri produk kecantikan, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 14 hari kepada setiap tertuduh bermula dari tarikh ditangkap 2 Februari 2025.

Sementara itu, mahkamah turut memerintahkan pasangan itu dihukum penjara sebulan dan denda RM2,000 seorang bagi kesalahan mencuri beg tangan berjenama atau enam bulan penjara jika gagal bayar dan berjalan selepas tempoh 14 hari tamat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya