PETALING JAYA: Pas Selangor mengecam sekeras-kerasnya pihak memperlekeh langkah kerajaan negeri menerapkan bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) berasaskan al-Quran di 23 sekolah menengah agama (SMA) di bawah seliaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).
Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ab. Halim Tamuri berkata, pihaknya menyokong langkah itu yang selaras dengan ajaran Islam menekankan kepentingan ilmu pengetahuan dan kajian saintifik yang boleh dieksplorasi dalam disiplin ilmu wahyu.
Katanya, menghubungkan STEM dengan ilmu al-Quran adalah langkah relevan bagi membantu pelajar menguasai bidang tersebut ke tahap lebih tinggi dan memanfaatkannya dalam kehidupan sejagat.
“Pas Selangor mengecam sekeras-kerasnya pihak yang memperlekeh usaha murni ini serta mempertikaikan keselarasan antara al-Quran dan STEM.
“Tanggapan bahawa Islam tidak menyokong kemajuan sains dan teknologi adalah pandangan dangkal serta tidak berasaskan fakta sejarah Islam,” katanya dalam kenyataan.
Sabtu lalu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, dilaporkan berkata, kerajaan negeri akan mula menerapkan bidang STEM di 23 SMA bawah seliaan Jais tahun ini.
Menurutnya, program itu dibangunkan Yayasan Restu bagi menghubungkan STEM dengan nilai dalam al-Quran serta menggalakkan pemahaman lebih mendalam mengenai kebesaran Allah melalui pendekatan saintifik.
Ab. Halim berkata, dunia Islam pernah melahirkan ilmuwan unggul dalam bidang STEM seperti al-Khawarizmi, Ibnu Sina dan al-Biruni, yang sehingga kini masih menjadi rujukan utama dunia, termasuk negara-negara Barat.
“Sebagai alumni sekolah JAIS dan individu berpengalaman dalam sektor pendidikan di institut pengajian tinggi, saya mewakili Pas Selangor menyeru semua pihak, termasuk ibu bapa, pendidik dan masyarakat di Selangor untuk menyokong pelaksanaan inisiatif ini.
“Langkah ini penting bagi memastikan pembangunan modal insan rakyat Selangor lebih berdaya saing dan berkualiti,” katanya. – UTUSAN