KUALA LUMPUR: Undang-undang sedia ada ketika ini dapat menangani pembunuhan karakter yang semakin berleluasa seperti dizahirkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, sebelum ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembunuhan karakter merujuk kepada kesalahan merosakkan reputasi seseorang melalui penyebaran maklumat palsu, fitnah atau kritikan tidak berasas.
Kata beliau, fenomena berkenaan sering berlaku di pelbagai platform termasuk media tradisional, media sosial dan ruang perbincangan awam.
Katanya, kewujudan platform media sosial seperti Facebook, TikTok dan Instagram menjadi medan utama yang digunakan untuk pembunuhan karakter bagi kesalahan penyebaran maklumat palsu dan pelbagai kes fitnah melibatkan individu tertentu.
“Untuk menangani isu ini, terdapat beberapa undang-undang sedia ada yang boleh digunakan untuk pendakwaan terhadap kesalahan berkaitan pembunuhan karakter.
“Ia termasuk Akta Hasutan 1948 (Akta 15) yang memberi kuasa kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap sebarang penerbitan atau ucapan yang boleh menghasut kebencian, ketegangan atau kekacauan dalam masyarakat.
“Ia melibatkan kesalahan yang boleh merosakkan keharmonian antara kaum dan institusi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) mengenai pendirian kerajaan terhadap titah Sultan Selangor berhubung isu pembunuhan karakter yang semakin berleluasa serta langkah pencegahan yang akan diambil.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, langkah lain yang boleh diambil adalah menerusi Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301) untuk mengawal penerbitan bahan bercetak dan melibatkan kesalahan berkaitan dengan penyebaran maklumat palsu atau fitnah melalui media cetak.
“Pihak berkuasa boleh menggunakan akta ini untuk mendakwa mereka yang terlibat dalam penyebaran maklumat yang boleh membunuh karakter seseorang.
“Selain itu ialah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] dalam mengawal selia penggunaan teknologi komunikasi dan multimedia di Malaysia, termasuk media sosial.
“Ia memberi kuasa kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap individu yang menyebarkan fitnah atau berita palsu melalui internet atau platform digital,” katanya.
Selain itu, katanya, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5) juga boleh digunakan untuk mengawal pelanggaran undang-undang semasa pilihan raya, termasuk penyebaran fitnah yang bertujuan untuk mempengaruhi pilihan pengundi.
“Pembunuhan karakter dalam konteks pilihan raya boleh dikenakan tindakan di bawah akta in dan Kanun Keseksaan [Akta 574] adalah undang- undang utama yang mengawal kesalahan jenayah di Malaysia.
“Di bawah Kanun Keseksaan, kesalahan fitnah dan penghinaan terhadap kehormatan seseorang boleh didakwa dengan menggunakan peruntukan jenayah berkaitan penghinaan atau fitnah,” katanya.
Anwar turut menekankan bahawa nilai Malaysia Madani mengutamakan keadilan, inklusiviti dan hak asasi manusia untuk membentuk masyarakat yang maju, adil, inklusif dan berperikemanusiaan dan sifat hormat menghormati antara satu sama lain.-UTUSAN