KUALA LUMPUR: Tuduhan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim menderhaka kepada Institusi Diraja adalah bersifat fitnah dan jahat.
Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Madani (BBC), Datuk Mohd. Shahar Abdullah berkata, Perdana Menteri tidak pernah menyorok atau menyembunyikan Titah Adendum berkait bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak seperti mana didakwa Hamzah.
Menurut beliau, Anwar sudah mengesahkan kewujudan titah Sultan Pahang yang juga Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkaitan tahanan rumah untuk Najib.
“Perdana Menteri juga sudah menjelaskan bahawa titah tersebut tidak pernah diserahkan kepadanya dan menegaskan urusan berkaitan Titah Adendum adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Peguam Negara (AGC) bukan di bawah tanggungjawab beliau.
“Menyatakan fakta yang benar tidak boleh dianggap sebagai penderhakaan. Ini kita anggap sebagai manipulasi oleh pihak pembangkang dan tuduhan itu adalah taktik lama mereka untuk mengelirukan rakyat dengan memainkan sentimen Institusi Diraja demi kepentingan politik,” katanya dalam sidang media di Bangunan Parlimen, hari ini.
Semalam, persidangan Dewan Rakyat dikecohkan dengan pertikaman lidah antara wakil rakyat dari blok kerajaan dan pembangkang selepas Hamzah menggelar Anwar sebagai penderhaka kerana mendakwa beliau menyorokkan Titah Adendum.
Kekecohan itu berakhir selepas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul melarang penggunaan perkataan derhaka untuk isu berkaitan Titah Adendum mengikut Peraturan Mesyuarat 36(7).
Mengulas lanjut, Mohd. Shahar juga menyangkal dakwaan pembangkang bahawa pelaburan tidak akan masuk ke Malaysia kerana mempunyai Perdana Menteri yang menderhaka kepada Institusi Diraja.
“Pelaburan bergantung kepada polisi dan ekonomi. Dakwaan bahawa pelabur tidak akan masuk ke negara ini kerana berlaku penderhakaan adalah tidak berasas sama sekali, kemasukan pelabur adalah berdasarkan keyakinan terhadap kepimpinan negara,” jelasnya.
Tambah beliau, tuduhan Hamzah kepada Anwar mencerminkan sikap tidak bertanggung jawabnya.
“Fitnah seperti ini bukan sahaja mencerminkan ketidakmatangan politik tetapi juga boleh merosakkan hubungan kerajaan dengan Institusi Diraja serta menjejaskan imej negara di peringkat antarabangsa.
“Ketua Pembangkang seharusnya lebih bertanggungjawab dalam mengeluarkan kenyataan, bukan menyebarkan dakwaan yang tidak berasas demi kepentingan politik semata-mata. Beliau sepatutnya menyahut titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim,” katanya. –UTUSAN