KUALA LUMPUR: Tiada keperluan untuk mewujudkan Akta Anti Diskriminasi Kaum kerana ndang-undang sedia ada sudah memadai untuk menangani masalah diskriminasi dan memelihara hubungan antara kaum di negara ini.
Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang juga menegaskan, sesiapa dengan sengaja melakukan apa-apa perbuatan, mencetuskan atau mengeluarkan sebarang kenyataan yang menggugat perpaduan kaum dan agama boleh disiasat serta didakwa.
Menurut beliau, penguatkuasaan yang telus dan adil tanpa mengira latar belakan etnik, agama serta kelas sosial adalah amat penting untuk memastikan keharmonian terus terpelihara.
“Kementerian berpandangan tiada keperluan untuk menggubal atau memperkenalkan suatu undang-undang baharu seperti Akta Anti Diskriminasi Kaum buat masa ini dan memadai dengan meningkatkan penguatkuasaan undang-undang sedia ada,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan dari Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang ingin mengetahui samada akta tersebut akan digubal untuk membendung gejala perkauman yang kian melarat dalam kalangan pemimpin parti politik dan inidividu yang bersikap estremis serta rasis.
Aaron Ago menjelaskan, sekiranya keadaan mendesak dan kerajaan berpandangan perlunya undang-undang baharu itu maka pihak kementerian akan memberikan sokongan.
“Sekiranya keadaan mendesak dan kerajaan berpandangan bahawa undang-undang sedia ada perlu dibuat semakan semula bagi tujuan mengekang sesetengah ucapan atau kenyataan atau perbuatan provokasi yang boleh memecahbelahkan masyarakat dengan sentimen perkauman maka kementerian akan menyokong penuh hasrat tersebut,” jelasnya.
Mengulas mengenai insiden melibatkan seorang penjaja di Sepang yang enggan menjual jagung kepada kaum India dengan meletakkan papan tanda berunsur perkauman, beliau berkata, kementeriannya sudah menggerakkan anggota Kawasan Rukun Tetangga (KRT) yang bertindak sebagai orang tengah.
“Sesi permohonan maaf tersebut telah diadakan di sebuah restoran di Sepang yang turut dihadiri oleh wakil masyarakat India, pempengaruh, wakil penduduk, wakil dari Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional serta pihak polis,” katanya. – UTUSAN