KUALA LUMPUR: Teknologi Kecerdasan Buatan (AI) banyak memberi kelebihan dalam membantu industri kelapa sawit untuk berkembang maju dan perlu dimanfaatkan pengusaha tempatan.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, teknologi itu juga dilihat mampu membantu mengurangkan beban operasi kilang seperti penyelenggaraan dan tenaga kerja asing.
Katanya, beliau sendiri telah melihat perkara itu ketika merasmikan sebuah kilang sawit di Kuala Kangsar, Perak pada November tahun lepas.
“Pada 2024 yang lalu saya datang merasmikan satu kilang sawit AI yang pertama di Kuala Kangsar. Saya pergi sebab saya tertarik dengan idea nak buat AI punya teknologi masuk dalam kilang kelapa sawit untuk memproses CPO (minyak kelapa sawit).
“Apa yang kita dapat lihat selepas empat bulan satu kilang yang mempunyai kapasiti hanya 45 metrik tan satu jam, boleh dapat kurangkan kos untuk memproses minyak dan penyelenggaraan sebanyak RM1.6 juta, estimated (jangkaan) dalam setahun average (purata), kemudian dia boleh menjimatkan kos ini.
“Selepas mereka pasang AI ini mereka hanya guna 44 pekerja sahaja iaitu 33 peratus penjimatan dan dia dapat jimatkan perbelanjaan pekerja sebanyak 1.1 juta,” katanya pada sesi penggulungan di Dewan Rakyat, hari ini.
Menjawab pertanyaan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) berhubung langkah mengelakkan penutupan kilang sawit apabila menggunakan teknologi terlalu tinggi, Johari berkata, perkara tersebut seperti itu perlu dilihat dalam dua keadaan.
“Pertama sekiranya berlaku perkara itu ia mungkin terjadi akibat, pembekalan buah sawit yang tidak mencukupi dan boleh memberi kesan kepada peningkatan kos operasi kilang tersebut.
“Kedua kita nak tengok kemungkinan kilang ini dah terlampau lama dan ia tiada efficiency (kecekapan). Kalau kita boleh buat satu kilang baru, dia punya OER (kadar perahan minyak) boleh sampai naik 20, 22 kemungkinan yang besar mesin-mesin digunakan adalah lama, (dan) mungkin dia punya tekanan rendah menyebabkan hasil hanya 15 peratus, 16 peratus sahaja,” katanya. – UTUSAN