KUALA LUMPUR: Sindiket penipuan tawaran pekerjaan menjadi antara perkara yang akan dibincangkan semasa Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 bagi mencari penyelesaian dan menoktahkan jenayah tersebut.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin berkata, topik tersebut sudah pun dibincangkan semasa Mesyuarat Pemukiman Menteri Luar ASEAN di Langkawi, Kedah pada 18 hingga 19 Januari lalu.
Menurut beliau, ASEAN juga berusaha meningkatkan kerjasama dengan semua pihak, antaranya melalui Ketua Polis Negara ASEAN (ASEANAPOL) bagi membanteras ancaman jenayah tersebut di peringkat akar umbi.
“Antara contoh kerjasama antara negara-negara ASEAN yang terlibat dalam sindiket ‘job scam’ ini ialah pihak berkuasa Myanmar telah menyerahkan 322 orang warga asing dari pelbagai negara termasuk Malaysia yang terlibat dengan sindiket penipuan di Myawaddy, Myanmar kepada pihak berkuasa Thailand.
“Mereka telah ditempatkan di bawah Mekanisme Rujukan Kebangsaan (NRM) untuk menjalani saringan bagi mengesahkan identiti serta peranan mereka dan akan diberikan bantuan sewajarnya oleh pihak kerajaan Thailand sebelum dihantar pulang ke negara asal masing-masing,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar (PN-Kemaman) yang meminta kementerian menyatakan langkah strategik diambil oleh Malaysia sepanjang menjadi Pengerusi ASEAN 2025 dalam mencapai tiga strategi yang ditetapkan.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, proses NRM dijangka mengambil masa selama tiga minggu hingga sebulan.
Jelasnya, setelah proses tersebut selesai, mereka yang terlibat dengan sindiket tersebut akan dihantar pulang ke negara asal dengan bantuan kedutaan masing-masing.
“Dalam hal ini, Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok akan mengadakan lawatan konsular dan memberikan bantuan yang sewajarnya bagi memudah cara penghantaran pulang mereka,” katanya. – UTUSAN