KUALA LUMPUR: Institusi perbankan berjaya mengagalkan sindiket penipuan atau scam yang cuba memperoleh hampir RM400 juta melalui kegiatan mereka sepanjang tahun lalu.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, transaksi berjumlah RM399 juta telah dihentikan oleh institusi perbankan sepanjang tahun lalu sahaja.
Menurut beliau, kes penipuan secara phishing dan malware yang dilaporkan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) turut menunjukkan penurunan sebanyak 60 peratus bagi sembilan bulan pertama tahun lalu.
“Ini menunjukkan bahawa peraturan piawaian sedia ada ke atas institusi kewangan termasuk untuk pengesanan penipuan adalah berkesan dalam mengurangkan kes penipuan dan meningkatkan keselamatan perbankan dalam talian,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Hui Ying menjawab soalan tambahan Chong Chieng Jen (PH-Stampin) yang membangkitkan isu akaun keldai yang masih berleluasa dan masalah scam masih tidak dapat dikawal.
Dalam pada itu, Hui Ying yang juga Ahli Parlimen Tanjong berkata, 95 peratus daripada kes-kes penipuan kewangan di Malaysia terjadi akibat mangsa secara sukarela melakukan dan meluluskan transaksi pembayaran.
“Memandangkan corak penipuan dengan kebenaran merupakan transaksi tulen, institusi kewangan menghadapi cabaran yang ketara untuk mengenalpasti dan menyekat transaksi penipuan tanpa menimbulkan risiko yang mampu menggugat kelancaran fungsi sistem pembayaran.
“Penipu juga sering mengekspoitasi pelanggan yang sah seperti pelajar untuk membuka akaun keldai yang menjadikan pengesanan akaun tersebut lebih sukar. Corak penggunaan akaun itu seakan dengan akaun yang sah dan tujuan pembukaan juga sah,” jelasnya. – UTUSAN