KUALA LUMPUR: Lima perkara mengenai tuntutan hak Sarawak ke atas sumber minyak dan gas berjaya dipersetujui dalam mesyuarat yang diadakan pada 7 Januari lalu antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Sarawak mengiktiraf dan menerima Akta Kemajuan Petroleum 1974 (Akta 144) sebagai Akta Persekutuan yang menentukan tatakelola dasar dan pengoperasian industri petroleum di Malaysia.
Katanya, Petronas menerima peranan Petroleum Sarawak (Petros) sebagai agregator gas di Sarawak dan bersedia untuk bekerjasama di negeri Bumi Kenyalang itu.
Kata Azalina, Petronas dan anak-anak syarikatnya juga tidak perlu dilesenkan tidak tertakluk kepada prosedur tambahan melaksanakan pengoperasian petroleum di Sarawak selain yang diperuntukkan dalam Akta 144.
“Semua komitmen perjanjian sedia ada antara Petronas dengan pihak-pihak ketiga termasuk Petros berkaitan aktiviti petroleum di Sarawak adalah sah, perlu diterima pakai dan diteruskan tanpa perubahan.
“Ini adalah semangat kerjasama sepenuhnya antara Petronas dan Petros dalam semua urusan,” katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan dari Chong Chieng Jen (PH-Stampin) berhubung terma penyelesaian antara Petronas dengan kerajaan Sarawak berkenaan tuntutan hak negeri itu atas minyak dan gas yang dikeluarkan dari negeri tersebut.
Mengulas lanjut, Azalina berkata, semua komitmen perjanjian sedia ada yang dimasuki antara Petronas dengan pihak-pihak ketiga termasuk Petroas berkaitan aktiviti petroleum di Sarawak adalah sah dengan ia perlu diterima pakai dan diteruskan tanpa sebarang perubahan.
“Semangat kerjasama sepenuhnya di antara Petronas dan Petroas dalam semua urusan.
“Kerajaan Persekutuan, Petronas dan Kerajaan Negeri Sarawak, Petros kini sedang memperhalusi beberapa perkara termasuklah dari segi implikasi perundangan yang berkaitan,” katanya.-UTUSAN