KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat dijangka akan menerima penjelasan berhubung situasi sebenar melibatkan tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) dan rancangan kerajaan berhubung undang-undang itu pada minggu ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kementeriannya sedang berurusan dengan Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk membolehkannya membuat penjelasan itu dalam sidang minggu ini.
“Saya akan bagi penjelasan menyeluruh tentang keadaan semasa dan apakah rancangan kehadapan yang sekarang kerajaan Madani sedang usahakan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang membangkitkan isu mengenai dakwaan ahli keluarga tahanan SOSMA yang mengatakan tahanan didera.
Sebelum ini, Fahmi Fadzil yang merupakan Jurucakap Kerajaan Perpaduan dilaporkan pada Jumaat lalu memaklumkan bahawa Jemaah Kabinet bersetuju supaya Kementerian Dalam Negeri mengkaji semula Sosma.
Menteri Komunikasi itu berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta supaya iaitu diteliti dan disemak semula.
Pada Sabtu lalu, Saifuddin berkata, beberapa seksyen dalam Sosma akan disemak serta diteliti semula bagi memastikan keseimbangan wujud antara keselamatan negara dan hak asasi individu.
Beliau berkata, semakan semula ini mengambil kira keperluan untuk mengekalkan peruntukan tertentu bagi menangani jenayah terancang dan ancaman keselamatan ekstrem, namun, pada masa yang sama, meneliti aspek keadilan dalam pelaksanaannya. – UTUSAN