KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan (MoF) sedang mengadakan sesi libat urus Rang Undang-Undang (RUU) Perolehan Kerajaan bagi membolehkan ia dibentangkan di Parlimen pada tahun ini.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, sesi libat urus tersebut dilakukan di setiap kerajaan negeri termasuk semua agensi dan syarikat negeri yang berkaitan dengan tatacara perolehan kerajaan.
Menurut beliau, sesi libat urus RUU berkenaan akan terus diadakan bersama pihak berkepentingan lain di peringkat Persekutuan bagi mendapatkan maklum balas dan cadangan membina bagi memastikan RUU tersebut digubal secara menyeluruh.
“Penggubalan RUU Perolehan Kerajaan ini adalah selaras serta menyokong Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) diterajui oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Ini menggambarkan keyakinan dan komitmen kerajaan ke arah menghapuskan segala bentuk rasuah melalui beberapa strategi terperinci termasuk mewujudkan Akta Perolehan Kerajaan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Ahmad Saad (PN-Pokok Sena) yang meminta kementerian menyatakan pelan masa ke arah pembentangan RUU Perolehan Kerajaan bagi memastikan pelaksanaan mekanisme perolehan yang menepati piawaian antarabangsa selain menutup lubuk kes-kes rasuah.
Amir Hamzah berkata, intipati RUU adalah untuk mengawal selia perbelanjaan awam secara profesional dan telus agar selaras dengan prinsip perolehan kerajaan.
“Pelaksanaan perolehan kerajaan pada masa ini adalah bersifat pentadbiran iaitu merujuk kepada pekeliling dan peraturan sedia ada.
“Oleh itu, cadangan untuk menggubal RUU Perolehan Kerajaan menjadi Akta Perolehan Kerajaan akan mengukuhkan tata kelola perolehan kerajaan secara perundangan,” jelasnya. – UTUSAN