KUALA LUMPUR: Prestasi fizikal keseluruhan projek River of Life (ROL) kini mencapai 95.52 peratus di mana penyiapan komponen pembersihan sungai adalah 96.16 peratus manakala penyiapan komponen pengindahan sungai adalah 93.96 peratus.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata, bagi menyiapkan baki kerja-kerja projek ROL, kerajaan akan mengekalkan Delivery Management Office (DMO) di Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) sebagai unit yang akan menyelaras keseluruhan Projek ROL yang akan dilaksanakan oleh setiap agensi yang terlibat.
Jelasnya, Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan dan Pelaksanaan projek ROL akan dilaksanakan oleh DMO dengan kekerapan tiga bulan sekali yang akan membincangkan status keseluruhan projek ROL dan isu-isu berkaitan.
“Ia akan melibatkan setiap agensi pelaksana iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) serta agensi lain yang berkaitan seperti Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan dan Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan.
“DMO juga akan menyelaras mesyuarat yang memerlukan keputusan segera bagi menangani isu-isu yang dihadapi oleh agensi pelaksana supaya prestasi fizikal keseluruhan Projek ROL ditingkatkan selaras dengan jadual kerja projek,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Fathul Huzir Ayob (PN-Gerik) yang meminta Perdana Menteri menyatakan perancangan khusus kerajaan untuk menyiapkan baki kerja-kerja pemuliharaan sungai di bawah projek ROL menjelang 2030 termasuk penambahbaikan aspek pengurusan dan penyelenggaraan tapak ROL serta garis masa pelaksanaannya.
Mengulas lanjut, Zaliha berkata, selaras dengan teguran dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2024, kerajaan akan menumpukan projek yang kritikal (must have) di bawah komponen pembersihan sungai yang akan memberi impak kepada indeks kualiti air.
Selain itu, katanya, di bawah pengindahan sungai kerajaan akan menumpukan projek yang memberi nilai untuk kewangan supaya Projek ROL ini dapat diselesaikan menjelang tahun 2030 dengan objektif yang ditetapkan.
“JWP telah merangka mekanisme penyelenggaraan untuk memastikan tapak-tapak projek ROL yang telah siap dibina diuruskan secara teratur dan mampan.
“Antara mekanisme adalah dengan melantik agensi penyelenggara berdasarkan kepakaran masing-masing dan mengikut peraturan yang telah digariskan dalam pengurusan aset kerajaan,” katanya. – UTUSAN