KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memantau pesta atau festival makanan yang mengambil kesempatan terhadap pengguna.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali menyeru orang ramai supaya melaporkan kepada kementerian sekiranya ada peniaga yang menjual barangan atau perkhidmatan dengan harga tidak munasabah.
Kata beliau, setiap aduan lengkap akan disiasat dalam tempoh 24 jam dan KPDN juga akan memanggil mana-mana penganjur pesta atau festival makanan berkaitan.
“Semakan ke atas harga jualan semasa dan harga jualan terdahulu sekiranya berkaitan akan dilaksanakan melalui serahan notis bertulis bagi memastikan peniaga tidak menaikkan margin keuntungan secara tidak munasabah.
“Penganjur juga perlu memastikan gerai jualan mematuhi perundangan kawalan harga dan antipencatutan sedia ada seperti penandaan harga yang jelas dan tidak mengelirukan,” katanya menerusi jawapan bertulis Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Mohd. Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) yang memintanya menyatakan apakah mekanisme kawalan yang sedia ada untuk memantau trend penganjur pesta atau festival makanan yang dilihat mengambil kesempatan menaikkan harga makanan.
Armizan berkata, KPDN turut bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi memastikan pihak yang menganjurkan pesta serta festival makanan ini diberi pendedahan dan kefahaman berkaitan perundangan kawalan harga dan antipencatutan.
Katanya, ia bagi mengelakkan peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga makanan serta mengaut keuntungan berlebihan.
“Ini selaras dengan pendekatan whole of government (pendekatan bersepadu kerajaan) di mana tanggungjawab untuk memastikan kebajikan rakyat haruslah melibatkan pendekatan keseluruhan kerajaan dengan penglibatan dan kerjasama erat yang berterusan daripada pelbagai pihak,” katanya.-UTUSAN