KUALA LUMPUR: Orang awam boleh membuat aduan kepada Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) sekiranya terdapat pelanggaran hak oleh pegawai polis ketika memeriksa telefon bimbit mereka.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan sewenangnya memeriksa telefon bimbit orang awam semasa sekatan jalan raya (SJR) kecuali terhadap orang yang disyaki dan dilakukan mengikut undang-undang.
Kata beliau, ia bagi memastikan pemeriksaan tersebut dijalankan dengan teratur di samping menghormati hak individu yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Justeru, pemeriksaan telefon bimbit akan berdasarkan kepada maklumat, risikan atau syak yang munasabah bahawa individu yang diperiksa tersebut dipercayai terlibat atau melakukan sesuatu kesalahan berkaitan jenayah.
“Sekiranya terdapat syak yang munasabah, pegawai polis berpangkat Inspektor dan ke atas diberi kuasa untuk memeriksa telefon bimbit orang awam selari dengan Seksyen 116B Kanun Prosedur Jenayah,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan dari Lim Lip Eng (PH-Kepong) yang meminta kementerian menyatakan kuasa anggota polis berpangkat inspektor ke atas untuk memeriksa telefon bimbit orang awam terutama dalam konteks SJR atau pemeriksaan secara rawak.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, bagi menghindar dan mencegah penyalahgunaan kuasa serta pelanggaran hak individu oleh pegawai polis, kerajaan sudah menubuhkan IPCC.
“Sehubungan itu, orang awam boleh membuat aduan kepada IPCC sekiranya pegawai polis memeriksa telefon bimbit mereka tanpa mematuhi perundangan sedia ada.
“Pemeriksaan mesti berasaskan kepada maklumat, risikan atau syak wasangka yang munasabah,” jelasnya. – UTUSAN