KUALA LUMPUR: Kerajaan komited untuk melaksanakan peranan pengasingan kuasa dengan baik meskipun perkara itu tidak berlaku dalam beberapa jawatan terpenting dalam negara.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran berkata, beliau mengambil beberapa contoh antaranya kepada Ketua Audit Negara untuk membuat siasatan secara terperinci terhadap sesuatu isu dibangkitkan.
“Walaupun Peguam Negara dan Menteri Kewangan tidak diasingkan, tidak bermakna fungsi yang dijalankan oleh jabatan itu telah ada kekurangannya.
“Kita perlu faham Kerajaan Madani serius itu sebab pemindahan dibuat kepada Ketua Audit Negara supaya beri kuasa lebih untuk buat siasatan dan sebagainya,” katanya di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Jamaludin Yahya (PN-Pasir Salak) tentang prinsip pemisahan kuasa yang tidak diamalkan Kerajaan Madani dan jaminan kerajaan tidak berlaku audit secara terpilih.
Pada waktu ini, tiada pengasingan kuasa diamalkan bagi jawatan antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
Dalam masa yang sama, Kulasegaran turut berkata pihaknya kini sedang giat menambah bilangan pegawai kerajaan bagi menampung kekurangan yang ada. – UTUSAN