KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menjangkakan penyasaran subsidi petrol RON95 akan dilaksanakan pertengahan tahun ini.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, kerajaan ketika ini masih dalam peringkat menentukan mekanisme terbaik untuk melaksanakan penyasaran RON95.
Katanya, ia bertujuan bagi memastikan penyasaran ini benar-benar mencapai objektif yang disasarkan.
Dalam masa yang sama, Armizan turut berkata, kerajaan akan memastikan tidak akan berlaku kenaikan kepada harga barang dan perkhidmatan secara tidak munasabah dan tidak terkawal akibat daripada penyasaran subsidi tersebut.
“Mengambil kira mekanisme yang digunakan semasa kerajaan melaksanakan penyasaran diesel pada tahun 2024 yang lalu, KPDN sedang menambahbaik sistem sedia ada untuk memberikan kuota petrol bersubsidi kepada kenderaan komersial yang layak.
“Pada ketika ini, kumpulan sasar yang akan menggunakan fleet card bersubsidi ini sedang dikenalpasti dan satu perbincangan di antara KPDN, Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengangkutan terutamanya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
“Ia akan dilaksanakan bagi memuktamadkan senarai akhir kumpulan yang layak untuk menggunakan fleet card petrol bersubsidi ini,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, Datuk Hassan Abdul Karim (PH- Pasir Gudang) meminta KPDN menyatakan sama ada pelancaran program subsidi bersasar petrol RON97 pada pertengahan tahun ini akan menyebabkan harga barang naik dan kos sara hidup rakyat akan meningkat, selain persiapan kementerian untuk menangani isu tersebut.
Mengulas lanjut, Armizan berkata, pemberian petrol bersubsidi kepada kumpulan sasar yang tepat secara tidak langsung dapat mengekalkan kos perkhidmatan dan kos penghantaran barangan keperluan kepada rakyat, seterusnya tidak membebankan rakyat dengan tambahan kos sara hidup. – UTUSAN