KUALA LUMPUR: PARLIMEN: Pengurusan universiti mesti berdasarkan peraturan
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, perkara itu termasuklah membabitkan kes bekas Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Mohd. Ekhwan Toriman yang mengumumkan perletakan jawatan baru-baru ini.
“Apa pun proses yang dibuat oleh bekas Naib Canselor UKM itu adalah tindakan beliau tanpa ada tuduhan secara rasmi dikenakan kepada dia.
“Bukan oleh kerana siasatan dibuat dan telah muktamad, tidak. Tetapi dalam masa yang sama, saya nak sebutkan, kita nak jadikan universiti itu tempat akademik terunggul, tempat kita mendapat ilmu dan menyampaikan ilmu. Amat malang kalau melihat universiti itu tempat kilang pengeluaran fitnah surat layang dan sebagainya.
“Jadi sebagai kerajaan, kita perlu bertanggungjawab bahawa pengurusan universiti itu dijalankan dengan baiknya tanpa melakukan aniaya kepada mana-mana pihak dan ia mesti berlandaskan kepada undang-undang.
“Sebarang tindakan dibuat oleh menteri atau siapa sahaja sama ada menteri atau lebih tinggi dari menteri, dalam konteks universiti itu mesti berlandaskan peraturan dan saya tidak boleh bertindak sesuatu yang di luar ruang lingkup undang-undang,” katanya pada sesi penggulungan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan Mohd. Ekhwan mengumumkan meletakkan jawatan sebagai Naib Canselor UKM.
Zambry juga berkata, beliau menghormati keputusan tersebut dan memberitahu pelantikan baharu akan melalui proses biasa serta akan diumumkan kemudian. – UTUSAN