KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memastikan pengambilan semula aset Tabung Haji (TH) oleh Urusharta Jamaah Sdn. Bhd. (UJSB) tidak memberi kesan kepada kedudukan kewangan TH.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam), Datuk Seri Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, TH memulakan perbincangan bersama Kementerian Kewangan (MOF) dan UJSB dan keputusan dijangka dimuktamadkan suku pertama tahun ini.
“Antara isu berbangkit mengenai penebusan sukuk pada 2025 dan kesan ke atas nilai aset milik UJSB.
“Kerajaan melalui Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam) akan memastikan penyerahan semula aset TH kepada UJSB adalah teratur dan tidak mempunyai implikasi ke atas kedudukan kewangan TH dan pendeposit.
“TH masih lagi meneliti opsyen terbaik dalam perancangan dengan MOF dan UJSB yang mana dijangka akan dimuktamadkan suku pertama tahun ini. Langkah ini bertujuan memberi manfaat kepada pendeposit secara amnya dan juga TH,” katanya di Dewan Rakyat, semalam.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) yang meminta Perdana Menteri menjelaskan perkembangan membabitkan pengambilan semula aset TH yang dipindahkan kepada UJSB sebelum ini.
Pada 2018, TH memindahkan aset yang tidak menguntungkan bernilai kira-kira RM19.9 bilion kepada UJSB, sebuah syarikat tujuan khas (SPV) dimiliki MOF bagi memantapkan kedudukan kewangannya.
Aset dipindahkan itu terdiri daripada gabungan pegangan ekuiti, hartanah dan aset perladangan yang tidak tersenarai.
Aset harta dipindahkan kepada UJSB termasuk 0.63 hektar tanah di Tun Razak Exchange (TRX).
Sebagai pertukaran kepada aset itu, UJSB menerbitkan RM10 bilion sukuk tujuh tahun dan saham boleh ditebus boleh ditukar Islam (RCPS-i) berjumlah RM9.9 bilion.
Terbitan sukuk oleh UJSB itu telah memberikan TH pulangan sebanyak 4.0 peratus atau kira-kira RM800 juta setahun. – UTUSAN