KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan (MoF) tampil memperjelaskan tuduhan mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengalami kerugian daripada penjualan saham Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB).
Menteri Kewangan, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, tawaran sukarela oleh konsortium yang dianggotai KWSP untuk mengambil alih semua saham MAHB yang belum dimiliki pada RM11 seunit, merupakan pelaburan baharu jangka panjang.
Menurut beliau, pelaburan tersebut bertujuan memastikan pulangan jangka panjang dengan mengambil kira sifat stabil aset infrastruktur yang mampu menjana aliran tunai secara konsisten.
“Ini turut serta potensi pertumbuhan berterusan dalam jumlah penumpang seperti yang dijangkakan.
“Strategi ini adalah selari dengan objektif KWSP sebagai pelabur institusi yang mengutamakan pulangan mampan untuk kepentingan ahli,” katanya di Dewan Rakyat, semalam.
Beliau menjawab soalan Datuk Azman Nasrudin (PN-Padang Serai) yang meminta kementerian menyatakan alasan KWSP menjual pegangan saham dalam MAHB pada 2023 dengan harga RM5.40 ke RM7.36 tetapi kemudiannya membeli semula pada harga RM11.00 seunit.
Azman turut meminta kementerian nyatakan jumlah kerugian keseluruhan yang ditanggung oleh dana persaraan rakyat akibat transaksi itu.
Mengulas persoalan harga RM11 seunit itu, Amir Hamzah berkata, ia perlu diambil maklum bahawa terdapat perbezaan antara perdagangan saham MAHB dalam pasaran dan pelaksanaan tawaran sukarela ke atas MAHB.
“Perdagangan saham, termasuk saham MAHB, diuruskan oleh pengurus dana saham tersenarai KWSP serta pengurus dana luar dan melibatkan pembelian dan penjualan saham pada harga pasaran yang berubah-ubah berdasarkan penawaran serta permintaan di Bursa Malaysia.
“Sebaliknya, tawaran sukarela oleh konsortium yang dianggotai KWSP, adalah dinilai dan dibuat oleh pasukan yang berbeza sepenuhnya oleh pasukan pelaburan strategik,” jelasnya.
Tambahnya, mandat kedua-dua pihak tersebut adalah berbeza, di mana objektif utama pengurus dana saham tersenarai KWSP adalah untuk menjana keuntungan bagi memastikan pembayaran dividen dapat diagihkan kepada ahli.
“Manakala keputusan pelaburan yang dibuat oleh pasukan pelaburan strategik mengambil kira aspek nilai ‘value creation’ dan objektif strategik.
“(Aspek lain) pelaksanaan pelan penambahbaikan yang selaras dengan rancangan strategik jangka masa panjang untuk memastikan pulangan yang lebih besar dapat dihasilkan demi kepentingan ahli-ahli KWSP,” katanya. – UTUSAN