KUALA LUMPUR: Penarikan diri Amerika Syarikat (AS) daripada Perjanjian Iklim Paris tidak menjejaskan komitmen Malaysia bersama negara anggota ASEAN lain.
Sebaliknya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia komited meneruskan hubungan bersama negara-negara ASEAN dengan membuat penyesuaian termasuk daripada segi peralihan tenaga.
Beliau malah berkata, dasar peralihan tenaga digunakan di Semenanjung dan Sarawak akan dilaksanakan secara lebih agresif dan cepat bagi menangani isu perubahan iklim di negara ini.
“Sebagai Pengerusi ASEAN, saya lihat konsensus di ASEAN tidak berubah, adakah kita mampu mempengaruhi dasar AS, kita tak fikir kita terlalu ‘ambitious’ (bercita-cita) sehingga ke situ cuma kita jaga rakan dan jaringan sedia ada,” katanya di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Terdahulu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar) dalam soalan tambahannya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri yang meminta Perdana Menteri menjelaskan usaha kerajaan dalam memastikan negara Barat terutama AS kembali mengiktiraf perubahan iklim sebagai isu penting. – UTUSAN