KUALA LUMPUR: Malaysia telah memulakan pengeksportan sulung durian segar ke China pada 24 Ogos 2024 dengan kuantiti sebanyak 40 tan metrik menerusi penghantaran udara.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, bagi tempoh 24 Ogos 2024 sehingga 31 Disember 2024, data Jabatan Perangkaan Malaysia merekodkan sebanyak 413.61 tan metrik durian segar dari Malaysia bernilai RM24.84 juta yang dieksport ke China.
“Berdasarkan tinjauan oleh Pejabat Penasihat Pertanian (PPP) di Beijing, durian segar Malaysia telah menerima sambutan yang amat menggalakkan di pasaran China, di mana populariti durian Malaysia dianggap sebagai premium.
“Durian dari Malaysia kini boleh didapati di enam belas (16) buah wilayah di China, antaranya di Beijing, Shanghai, Guangzhou, Shenzhen, Tianjin dan Chengdu,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, Chow Yu Hui (DAP- Raub) meminta kementerian menyatakan sejak Ogos 2024 apabila buah durian segar dari Malaysia mendapat kelulusan untuk dieksport ke China, berapa jumlah keseluruhan eksport dalam tan metrik.
Mengulas lanjut, Arthur berkata terdapat beberapa cabaran yang dihadapi oleh industri durian Malaysia dalam mengekalkan daya saing durian segar termasuklah pengeluaran tidak dapat memenuhi permintaan.
“Pada masa ini, durian dari Malaysia mendapat permintaan tinggi dari negara seperti China, Singapura dan Hong Kong.
“Saiz pasaran durian segar di China pada tahun 2023 adalah bernilai RM32 bilion. Namun, permintaan durian segar bagi pasaran eksport tidak dapat dipenuhi oleh pengeluaran semasa. Bekalan buah durian segar hanya terhad kepada musim tuaian, kebiasaannya dua kali setahun.
Selain itu jelasnya, tempoh kesegaran durian segar juga dikatakan agak pendek sekali gus menjadi antara cabaran yang terpaksa dihadapi pihaknya.
“Durian yang dituai perlu dieksport dengan segera dan dipasarkan dalam tempoh tiga ke empat hari bagi mengekalkan kesegaran dan kualiti. Ini berbeza dengan durian segar dari Thailand dan Vietnam yang mempunyai tempoh kesegaran yang lebih lama sehingga 25 hari kerana amalan penuaian sebelum tempoh matang.
“Bagi kos logistik pula, pengeksportan durian segar ke China dalam tempoh segera memerlukan pengangkutan udara pada suhu yang rendah menyebabkan kos penghantaran yang lebih tinggi berbanding durian segar dari Thailand dan Vietnam yang dihantar melalui jalan darat,” ujarnya. – UTUSAN