PARLIMEN: Mahkamah khas, ikat jamin antara kajian tambahbaik Sosma

PARLIMEN: Mahkamah khas, ikat jamin antara kajian tambahbaik Sosma

Saifuddin Nasution Ismail -JANATAN PENERANGAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan melaksanakan kajian keperluan untuk mewujudkan mahkamah khas untuk tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) bagi mempercepatkan proses pendakwaan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kewujudan mahkamah khas tersebut adalah antara tiga hala tuju kajian penambahbaikan yang dilakukan oleh kerajaan terhadap Sosma.

Kata beliau, antara hala tuju lain adalah membuat semakan semula terhadap jadual kesalahan yang tidak boleh dijamin secara mutlak sebelum ini, bagi membolehkan mahkamah memberi jaminan.

“Ada 73 kesalahan yang terangkum di dalam akta ini, mulai sekarang kita akan semak balik dan tengok kesalahan apa yang kita kekal dalam kategori tidak boleh dijamin, kesalahan apa kita pulangkan kuasa ke mahkamah untuk membenarkan ikat jamin.

“Kita juga akan mengkaji keperluan dan kesesuaian untuk mewujudkan mahkamah khas sama seperti mahkamah khas jenayah perasuah, sekarang ada keperluan untuk kita pertimbangkan mewujudkan mahkamah khas khusus untuk kes Sosma.

“Ketiga, kita akan mengkaji meminda Seksyen 30 berhubung penahanan sementara menunggu proses undang-undang habis, boleh dipertimbangkan selari dengan cadangan Seksyen 13 berhubung jaminan,” katanya ketika memberi penjelasan menteri berkenaan penggunaan dan perancangan kerajaan terhadap Sosma di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution turut mengumumkan pembentukan sebuah jawatankuasa khas khusus untuk memperhalusi cadangan penambahbaikan pindaan Sosma.

“Lagi cepat jawatankuasa ini menghasilkan dapatan, lagi cepat kita akan bentang ia di Parlimen.

“Biar ini menjadi satu garis masa untuk menunjukkan kesediaan kita dan sentiasa terbuka dalam menambahbaik dasar, perundangan, peraturan serta usaha untuk memperkasa aspek keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya.

Beliau menjelaskan usaha penambahbaikan itu tidak bermakna kerajaan mengambil sikap sambil lewa atau memandang ringan terhadap keperluan undang-undang bagi bagi menangani ancaman jenayah dan keganasan yang masih wujud di negara ini.

“Apabila jawatankuasa ini ditubuhkan, persoalan-persoalan mengenai 28 hari tahanan, apakah kita boleh pecahkan kepada 14 dan sebagainya akan kita pertimbangkan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya