PARLIMEN: Kurikulum baharu pendidikan sejarah bermula 2027

PARLIMEN: Kurikulum baharu pendidikan sejarah bermula 2027

spm
FADHLINA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) dalam proses melakukan penggubalan kurikulum baharu pendidikan sejarah yang dijangka digunakan bermula 2027.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, kali terakhir kurikulum subjek tersebut disemak adalah melalui Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) Semakan 2017 dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM).

Beliau berkata, KPM memberi penekanan kepada keseimbangan dalam kandungan kurikulum sejarah dengan memasukkan unsur sejarah budaya, sosial, kesenian dan sukan bagi mengimbangi kandungan sejarah politik yang sedia ada sebagai langkah penambahbaikan.

Ujarnya, kandungan sejarah Sabah dan Sarawak dimasukkan secara seiringan dengan negeri-negeri lain sebagai usaha untuk memupuk integrasi nasional.

“Penambahbaikan ini bertujuan untuk memastikan kandungan sejarah lebih komprehensif, seimbang serta mampu melahirkan murid yang bukan sahaja berpengetahuan luas tetapi juga mempunyai jati diri yang kukuh sebagai warganegara Malaysia.

“Pendekatan ini bertujuan untuk memberikan gambaran yang lebih holistik mengenai warisan dan kejayaan negara, selain memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan murid.

“Tambahan pula, skop sejarah dunia turut diperluaskan dengan memasukkan isu-isu antarabangsa yang relevan,” katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) di Dewan Rakyat yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen, hari ini.

Fadhlina berkata, kurikulum sejarah dirangka bagi membolehkan murid memahami tingkah laku manusia, sebab dan akibat sesuatu peristiwa dan menghayati keunikan sejarah tanah air serta kegemilangan negara.

“Matlamat utama kurikulum ini adalah untuk melahirkan generasi yang patriotik, menjunjung prinsip demokrasi, serta memiliki kesedaran kebangsaan yang tinggi.

“Selain itu, ia juga bertujuan untuk memberikan kefahaman yang mendalam mengenai sejarah masyarakat, negara Malaysia dan dunia, sekali gus memupuk dan memperkukuh identiti serta semangat setia negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya