Kerajaan pertimbang kebajikan rakyat tentukan tarif elektrik

PARLIMEN: Kerajaan ambil kira kebajikan rakyat tentukan tarif elektrik

FADILLAH YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penetapan tarif elektrik di Semenanjung akan mempertimbangkan semua perkara termasuk tekanan yang dihadapi rakyat bagi memastikan tidak dibebani dengan tarif baharu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, penetapan tarif elektrik itu selaras dengan penegasan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak membenarkan sebarang kenaikan yang membebankan rakyat.

“Kementerian memberi jaminan bahawa penetapan tarif elektrik di Semenanjung termasuk pelaksanaan jadual tarif yang baharu di bawah Tempoh Regulatori Keempat (RP4) akan mengambil kira semua aspek termasuk kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

“Dalam hal ini, sebarang pengumuman berhubung penetapan tarif elektrik di Semenanjung hanya akan dikeluarkan secara rasmi oleh kerajaan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan dari Datuk Abdul Khalib Abdullah (PN-Rompin) yang memintanya menyatakan adakah rasial di sebalik hasrat Tenaga Nasional Berhad (TNB) menaikkan tarif elektrik.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, kerajaan dalam menetapkan tarif asas elektrik bagi pengguna elektrik di Semenanjung mengambil kira tiga aspek iaitu keterjaminan bekalan, kelestarian dan mampu dibayar oleh pengguna.

“Sehubungan itu, bermula pada tahun 2014, kerajaan menggunakan Kawalselia Berasaskan Insentif (IBR) bagi penetapan purata tarif asas elektrik di Semenanjung.

“Melalui mekanisme IBR ini, purata tarif asas di Semenanjung akan dikaji setiap tiga tahun sekali berserta dengan penetapan parameter-parameter asas seperti unjuran harga bahan api, kos operasi (OPEX), kos modal (CAPEX) dan kadar keuntungan TNB yang dikawal selia oleh Kerajaan melalui Suruhanjaya Tenaga (ST),” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, komponen terbesar komponen terbesar dalam pengiraan tarif asas adalah unjuran harga bahan api iaitu arang batu dan gas untuk penjanaan elektrik.

Katanya, kenaikan harga bahan api di peringkat global dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini menjadikan unjuran bagi tempoh RP4 adalah lebih tinggi supaya ia mencerminkan harga bahan api sebenar pada masa ini.

“Unjuran harga bahan api arang batu dan gas adalah jauh lebih rendah semasa penetapan kadar purata tarif asas elektrik bagi tempoh Regulatori Ketiga (RP3) iaitu pada 2022 hingga 2024 yang mengakibatkan pelarasan surcaj tarif elektrik di bawah mekanisme Imbalance Cost Pass-Through (ICPT) menjadi amat tinggi.

“Oleh itu, penetapan unjuran baharu bagi tempoh RP4 akan merapatkan lagi jurang harga bahan api semasa supaya pelarasan ICPT yang disemak setiap enam bulan dapat dikawal dengan lebih cekap dan berkesan,” jelasnya.

Tambahnya, kementerian melalui ST juga telah melaksanakan libat urus bersama pemain industri dan komuniti perniagaan pada 13 Januari dan 5 Februari lalu mengenai kenaikan tarif elektrik bagi memastikan kepentingan semua pihak diambil kira.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya