KUALA LUMPUR: Kerajaan memfokuskan kepada pindaan undang-undang lapuk yang melibatkan undang-undang komersial dan jenayah.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kerajaan telah mengambil inisiatif daripada pentadbiran sebelum ini dalam menubuhkan satu Jawatankuasa Semakan dan Kajian Akta Kontrak 1950 (Akta 136) pada 14 Januari lalu.
Katanya, kajian itu akan memakan masa selama 18 bulan.
“Pindaan ini penting untuk dibuat memandangkan pindaan terakhir yang dibuat adalah pada 1976. Sebahagian besar isi kandungan di dalam akta tersebut menggunakan istilah-istilah lama serta berteraskan prinsip undang-undang yang sudah tidak relevan dengan keperluan zaman moden.
“Ini mengakibatkan banyak peruntukan di bawah Akta 136 tidak mampu menangani isu kompleksiti dalam transaksi terutamanya transaksi e-dagang dan perjanjian berbentuk digital.
“Oleh yang demikian, jawatankuasa ini antara lain penting untuk mengkaji semula bidang utama pembangunan undang-undang kontrak dan menilai kembali kekangan dan kelemahan Akta 136.
“Ia juga bagi mengkaji keputusan penting di mahkamah bagi bidang teras undang-undang kontrak, membuat pernyataan semula undang-undang kontrak, mengesyorkan keperluan pembaharuan, dan menyediakan laporan lengkap yang mengandungi hasil kajian,” katanya dalam sesi penggulungan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau juga membangkitkan persoalan berkenaan jumlah sebenar undang-undang dianggap lapuk dalam Kanun Keseksaan, Kanun Tatacara Jenayah, dan Akta Keterangan 1950.
“Berapa banyak seksyen daripada keseluruhan 511 seksyen dalam Kanun Keseksaan, 167 seksyen dalam Akta Keterangan, dan 444 seksyen dalam Kanun Tatacara Jenayah yang telah dianggap lapuk?
“Berapa pula yang masih relevan dengan kemajuan teknologi dan perkembangan dunia digital? Sejauh manakah peruntukan-peruntukan ini digubal dengan bahasa yang mudah difahami oleh rakyat?
“Di samping itu, berapa banyak yang masih selaras dengan kemajuan pesat era digital ini? Yang paling penting, berapa banyak daripada peruntukan ini yang dapat memperkasa dan memperkukuhkan sistem keadilan jenayah negara kita?,” soalnya.
Katanya, dengan menjawab persoalan-persoalan itu, kerajaan dapat mengenal pasti aspek-aspek yang memerlukan pembaharuan dan memastikan sistem perundangan kekal relevan, berkesan dan mampu memenuhi keperluan masyarakat yang semakin berubah.
“Oleh itu, usaha Reformasi Undang-Undang Jenayah ini akan melibatkan cadangan penubuhan jawatankuasa bagi membuat semakan dan pembaharuan kepada sistem perundangan jenayah di Malaysia.
“Jawatankuasa ini akan dibentuk dalam masa yang terdekat untuk meneliti sistem perundangan ini dari aspek kesalahan, hukuman, dan prosedur-prosedur yang berkaitan,” katanya. – UTUSAN