KUALA LUMPUR: Jabatan Perikanan akan mengkaji semula dasar pemindahan pangkalan nelayan dengan menetapkan beberapa syarat baharu bagi memastikan proses pemindahan berjalan lancar dan teratur.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup, berkata, antara syarat yang ditetapkan adalah pemohon perlu mempunyai kemudahan tempat penyimpanan ikan yang mencukupi, pelan pemasaran yang teratur dan lokasi tambatan kapal di kawasan baharu.
“Selain itu, pemohon juga dikehendaki mendapatkan sokongan daripada Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) sebelum permohonan pindah pangkalan diluluskan.
“Dasar baharu ini bertujuan memastikan kebajikan nelayan serta hasil tangkapan mereka terjaga selain memperkukuhkan rantaian bekalan ikan di kawasan yang terlibat,” katanya di sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Oscar Ling Chai Yew yang memintanya menjawab sekiranya kerajaan bercadang untuk mengubah dasar pemindahan pangkalan bagi memudahkan nelayan.
Mengulas lanjut, Arthur berkata, dasar ini juga akan membantu dalam memastikan setiap pangkalan nelayan yang baharu memenuhi keperluan logistik dan keselamatan sebelum sebarang pemindahan dilakukan.
“Dalam usaha untuk memperkukuhkan industri perikanan tempatan, pihak jabatan akan terus bekerjasama rapat dengan semua pihak berkepentingan termasuk nelayan, persatuan, serta agensi-agensi kerajaan yang berkaitan,” katanya. – UTUSAN