KUALA LUMPUR: Sebanyak 95 program Jualan Madani Koperasi Usahawan (JMKU) dilaksanakan di seluruh negara, dengan memberi manfaat kepada hampir 25,000 usahawan.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R. Ramanan berkata, program itu yang bertujuan meringankan beban dan kos sara hidup rakyat, mencatatkan nilai jualan sebanyak RM8.5 juta.
Bagaimanapun kata beliau, harga jualan berbeza kerana bergantung kepada beberapa faktor termasuk lokasi serta diskaun yang diberikan dalam program tersebut.
“Di kawasan saya sendiri di Sungai Buloh, jualan Madani adalah yang termurah di seluruh negara, dengan diskaun 50 peratus, tetapi saya yang menampung kos itu sendiri. Kalau ingin lebih (diskaun) mungkin kita boleh usahakan daripada peruntukan kita (Ahli Parlimen) sendiri,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam pada itu, Ramanan berkata, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui agensi-agensinya komited memperkasakan gerakan koperasi berdasarkan Pelan Transformasi Koperasi Malaysia (TransKoM) 2021-2025 dan Dasar Koperasi Malaysia (DaKoM) 2030.
Beliau berkata, pelbagai perancangan dilaksanakan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) bagi meningkatkan kejayaan gerakan koperasi termasuk penyediaan kemudahan pembiayaan tanpa cagaran sehingga RM200,000 melalui Tabung Modal Pusingan SKM kepada koperasi yang layak bagi mengembangkan aktiviti perniagaan koperasi.
“KUSKOP juga melaksanakan Program Pembangunan Perniagaan Melalui Koperasi bagi membantu koperasi meningkatkan kapasiti dan keupayaan dalam perniagaan merangkumi pemberian insentif kewangan sehingga RM300,000 kepada koperasi yang layak,” katanya. – UTUSAN