KUALA LUMPUR: Seorang wakil rakyat Sabah mempersoal masalah yang sama berlaku sehingga hari ini termasuklah berkaitan hak dan keperluan rakyat di negeri itu.
Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis berkata, perkara ini sepatutnya diselesaikan dengan segera, dengan mengambil contoh isu air berjumlah RM320 juta dijanjikan tempoh pelaksanaannya mengambil masa sekitar enam ke lapan bulan.
Namun katanya, selepas dua tahun, projek tersebut baharu sahaja berjalan.
“Saya cukup kecewa perjalanan projek di Sabah, ini bukan buat menara atau resort, tetapi ini keperluan rakyat di Sabah. Ingatkan diberinya itu bantuan, tetapi rupanya pinjaman, ingatkan lapan bulan projek boleh siap.
“Tetapi selepas dua tahun baru projek berjalan, apa ini?” soalnya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Sebelum ini, Kerajaan Persekutuan bersetuju menyalurkan RM320.25 juta kepada Kerajaan Sabah sebagai bantuan bagi menyegerakan pelaksanaan pelan jangka pendek menyelesaikan isu bekalan air di negeri itu
Beliau dalam masa yang sama turut mengingatkan agar rakyat Sabah tidak berterusan memberi mandat kepada pemimpin kerajaan negeri itu kerana tidak tahu menyelesaikan isu-isu rakyat dengan segera.
Tanpa menyebut mana-mana nama pemimpin, katanya lagi, isu yang melibatkan keperluan asas itu turut berlaku ekoran jalan berlubang yang tidak diselesaikan sehingga ada yang meninggal dunia akibat masalah berkenaan.
“Sampai bila kita nak tunggu gula-gula pilihan raya? sampai bila kita nak jadi generasi yang ada duit baru nak undi? Sampai bila kita nak dihidangkan dengan YB (Yang Berhormat) rasuah dan rakyat selama-lamanya miskin? – UTUSAN