KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang memuktamadkan satu garis panduan khusus berkaitan penglibatan orang Islam dalam majlis sambutan perayaan, upacara kematian, kunjungan dan penganjuran majlis di rumah ibadat selain Islam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, dalam garis panduan tersebut menggariskan penglibatan orang Islam dalam sambutan perayaan orang selain Islam.
Kata beliau, penglibatan orang Islam dalam majlis sambutan mestilah tidak disertakan dengan perbuatan yang boleh menyentuh sensitiviti masyarakat Islam.
Mohd. Na’im berkata, antara contoh adalah ucapan atau nyanyian berbentuk propaganda, penyebaran risalah dan agamanya dan persembahan atau ucapan yang menghina mahupun mempersendakan pegangan agama masyarakat Islam.
“Selain itu, contoh lain adalah pelaksanaan majlis dalam tempoh umat Islam melaksanakan ibadah seperti waktu azan, solat jemaah, khutbah dan solat Jumaat.
“Malah, sekiranya lokasi majlis tidak berhampiran dengan masjid, surau, tanah perkuburan Islam dan tanah wakaf dan premis yang digunakan tidak mempamerkan simbol keagamaan bukan Islam,” katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) yang memintanya menyatakan pendirian dan ketetapan mengenai sambutan perayaan agama lain selain Islam di premis kerajaan yang turut melibatkan orang Islam.
Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata, pihak penganjur juga perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak berautoriti dan perlu mendapatkan pandangan pihak berkuasa agama Islam jika jemputan melibatkan pemimpin atau orang Islam sebelum sesuatu majlis perayaan dilaksanakan.
“Garis panduan ini akan dimuktamadkan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali ke-126 yang dijadualkan pada 25 hingga 27 Februari ini.
“Garis Panduan ini juga melengkapi Garis Panduan 2005 dan masih boleh dijadikan sebagai panduan. Mana-mana yang dalam Garis Panduan lama bertentangan dengan yang baru, maka Garis Panduan yang lama tidak akan terpakai,” katanya.-UTUSAN